Cili Merah Hindar Darah Beku
Cili merah atau nama saintifiknya Capsicum annuum yang berasal dari keluarga Solanaceae ini merupakan sejenis cili berisi tebal berwarna merah atau hijau dan mengeluarkan hasil sepanjang tahun. Ia mengeluarkan buaga kecil yang bertukar menjadi buah pada setiap ranting daun. Cili merah kaya dengan vitamin C, vitamin A dan zat-zat galian seperti besi, kalsium, fosforus, sodium dan potasium. Sayuran ini dikatakan bernilai dari segi kesihatan untuk meredakan kesakitan yang ada kaitan dengan kegemukkan. Ia juga baik untuk pengedaran darah dan boleh mengatasi masalah sakit kerongkong. Cili merah mengandungi sejenis bahan yang menghalang sel-sel darah daripada bergumpal dan sekaligus menghalang sejenis penyakit darah beku yang dikenali sebagai trombosis
Brokoli Hindar Osteoporosis
Osteoporosis adalah sejenis penyakit yang kerap menyerang kaum wanita pada usia 35 hingga 50 tahun. Tanda paling ketara wujudnya penyakit itu ialah sakit kaki dan belakang kerana kekuatan tulang di bahagian berkenaan merosot di bawah tahap yang sewajarnya. Amalan mempertingkatkan kalsium dan mengurangkan protein dan fosforus adalah di antara petua-petua untuk menghindar, mengawal atau mengubati osteoporosis. Pengambilan makanan yang kaya dengan protein boleh menyebabkan tubuh kehilangan zat-zat galian, terutamanya kalsium yang penting untuk pembinaan tulang. Lantaran itu brokoli sejenis sayuran berdaun amat sesuai untuk menghindari penyakit ini kerana kandungan vitamin Knya yang dapat mengurangkan kehilangan kalsium, di samping membantu tubuh badan menyerapnya dengan lebih berkesan
Tomato Cegah Barah Prostat
Tomato, yang dikenali dengan nama sainsnya Lycopersicon esculentum, juga merupakan sejenis sayuran yang digemari ramai. Ia lazat dimakan mentah atau dimasak dalam pelbagai jenis hidangan. Tomato yang juga berasal dari keluarga Solanaceae, kaya dengan zat galian, serat serta vitamin A dan C yang diperlukan untuk mengekalkan kecergasan. Ia juga baik untuk melicinkan kulit dan merupakan salah satu bahan awet muda yang penting. Satu kajian terbaru di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa pigmen merah yang terdapat pada kulit tomato mengandungi sejenis bahan yang dikenali sebagai lycopene yang boleh mengurangkan risiko dikalangan kaum lelaki daripada mendapat penyakit barah prostat. Kajian itu juga menyatakan bahawa dengan memakan 10 biji seminggu dapat mengurangkan risiko penyakit itu sehingga 45 peratus
Bendi untuk Kecergasan Otak
Bendi juga merupakan sayur tempatan yang banyak ditanam di negara-negara yang beriklim panas dan lembab. Berdasarkan kajian tempatan yang dilakukan, bendi mengandungi sebanyak dua peratus protein, tujuh peratus karbohidrat dan satu peratus serat. Selain itu bendi juga kaya dengan zat galian dan vitamin terutamanya kalsium. Lantaran itu ia merupakan sayur yang elok untuk perkembangan otak. Dalam bidang perubatan, bendi digunakan sebagai perangsang buangan air kecil, berkesan untuk merawat gonorea, sifilis serta bengkak saluran kerongkong dan hidung
Bawang Putih halang Darah Tinggi dan Kanser
Bawang putih telah dikenal pasti dapat memecahkan kolesterol yang menyekat perjalanan darah pada salur darah. Kolesterol inilah yang menjadi punca penyakit darah tinggi. Bawang putih atau Allium sativum nama sainsnya juga membantu menyegarkan pernafasan sekalipun di tempat yang banyak karbon monoksida (asap kenderaan). Sayuran ini juga dapat menghindarkan seseorang daripada diserang kanser kerana kandungan mineralnya membantutkan ketumbuhan tumor dalam tubuh manusia. Di Korea contohnya, peratus pengidap darah tinggi begitu rendah sekali dan ini dikaitkan dengan amalan menjadikan bawang putih sebagai ulam setiap kali mereka makan
No comments:
Post a Comment