Definisi kembung perut
Kembung perut terjadi apabila terdapat angin dalam perut bayi. Angin boleh masuk dalam perut bayi semasa bayi menyusu, menangis atau pun bernafas dan mengakibatkan bayi berasa tidak selesa dan sakit perut.
Simptom bayi kembung
Bayi yang kembung biasanya akan menangis, tidak mahu tidur dan perutnya keras dan terik.
Mengapa bayi kembung
Bayi yang kerap kembung perut perlu disendawakan setiap kali menyusu. Bayi yang menyusu badan kurang mengalami kembung perut berbanding bayi menyusu botol. Bayi menyusu badan boleh mengawal aliran susu yang keluar dan menghisap dengan lebih perlahan, maka kurang udara yang ditelan. Walau bagaimana pun, bayi yang menyusu badan juga harus kerap disendawakan jika dia menyusu dengan cepat atau aliran susu anda agak laju. Kekacang yang dimakan oleh ibu menyusu dikatakan boleh menyebabkan perut bayi kembung tetapi tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Bayi menyusu botol lebih kerap kembung kerana banyak menelan udara akibat daripada aliran susu yang laju. Pastikan saiz lubang puting bersesuaian dengan umur bayi anda (ex: saiz S bagi bayi baru lahir sehingga 3-4 bulan). Pastikan juga botol susu disendengkan sehingga susu menutupi permukaan lubang puting susu untuk mengelakkan banyak udara bercampur semasa bayi menyusu.
Bagaimana mengatasi kembung perut
1) Sendawa
Terdapat 3 cara untuk sendawakan bayi:
- Sandarkan bayi anda pada bahu dan tampu punggungnya dengan lengan anda sementara tangan anda yang sebelah lagi menggosok belakang bayi. Ini kebiasaannya cara yang paling mudah untuk sendawakan bayi anda.
- Dudukkan anak anda dengan merehatkan dagunya di atas lengan anda apabila tangan anda memegang bahunya yang bertentangan dan gosok belakang bayi.
- Letakkan bayi anda dengan mukanya menghadap riba anda dan gosokkan belakangnya.
2) Tuam perut
Di Malaysia, bayi kembung perut biasanya akan dituam dengan bungkusan pasir atau beras yang dipanaskan sehingga suhu yang bersesuaian. Pasir atau beras boleh dipanaskan dalam kuali atau panaskan terus dalam bungkusan dengan menekap seterika panas pada bungkusan. Tuamkan dahulu pada kulit anda untuk memastikan suhu bungkusan tidak terlalu panas dan tuamkan pada perut bayi. Pastikan badan bayi dilapik dengan kain dahulu supaya kulit tidak melecur. Rasionalnya, udara akan dipecahkan dengan peningkatan suhu perut dan kemudian keluar dari bayi sama ada melalui kentut atau sendawa.
3) Ubat
Jika bayi anda mengalami kembung perut yang teruk, doktor atau ahli farmasi mungkin akan menyarankan supaya mengambil “Infacol” yang mengandungi “simethicone” yang mana ia akan mengeluarkan udara dalam kuantiti yang banyak. “Gripe water” juga dikatakan boleh megeluarkan angin dalam perut bayi dengan efektif. Kandungan herba (dill, fennel, halia, etc) dalam “gripe water” akan memanaskan perut dan memecahkan angin sementara sodium bikarbonat meneutralkan asid dalam perut. Pastikan anda mendapat nasihat doktor sebelum menggunakan ubat-ubatan.
No comments:
Post a Comment